Teks : Siti Shawalriah Binti Sharif
Foto : Sendiri
Assalamualaikum W.B.T
Apa agaknya perasaan ibubapa yang mempunyai anak yang masih belum bercakap? Sudah semestinya sedih dan juga risau dengan perkembangan si anak. Mesti kita akan terfikir, apa yang aku dah buat silap ni? Saya pun merasai benda ni, sebab semasa Naufal Azim(anak pertama) berumur 2 tahun, dia masih belum pandai bercakap. Jadi, kita sebagai ibubapa kena bertindak cepat. Aktiviti di rumah sangat mempengaruhi perkembangan pertuturan anak. Ibu abah boleh bawa anak untuk ikut speech therapy dan banyakkan latihan dan aktiviti di rumah supaya anak cepat bercakap.
Apa yang perlu dibuat bila ibu bapa perasan anaknya lambat cakap. Ini berdasarkan pengalaman yang saya perolehi :-
1) Berjumpa Pakar SPEECH THERAPY
Saya telah membawa anak saya untuk berjumpa dengan Pn. Ruby Atika. Sebagai Pakar Terapi Pertuturan profesional, saya harap beliau dapat membantu dan memberi tips dalam membantu anak saya boleh bercakap. Alhamdulillah, dengan bantuan beliau saya dapat membantu anak saya bercakap walaupun hanya menghadiri satu sahaja kelas pertuturan. Berikut tips yang beliau berikan :-
Kemahiran Pra-Pertuturan
(sumber : http://blog.becauseyouarespecial.com.my/) kemahiran dimana kanak-kanak perlu mempelajari sebelum mereka mula bercakap lagi. Terdapat 5 kemahiran yang biasanya perlu dikuasai kanak-kanak iaitu :-
- daya tumpuan - Kanak-kanak mesti mempunyai daya tumpuan atau fokus yang baik terhadap objek atau orang lain untuk mereka belajar sesuatu. Daya tumpuan juga penting untuk mereka belajar dari setiap pengalaman yang mereka lalui.
- hubungan mata - Hubungan mata adalah kemahiran asas yang dilakukan oleh bayi seawal selepas kelahiran. Hubungan mata membolehkan kanak-kanak untuk fokus kepada muka setiap orang dan objek disekelilingnya. Kanak-kanak memerlukan kemahiran ini untuk melihat pergerakan mulut orang yang bercakap dengannya dan cuba untuk meniru pergerakan tersebut.
- Mengambil Giliran - Kemahiran mengambil giliran adalah kemahiran asas untuk seseorang berkomunikasi dan berinteraksi. Kemahiran mengambil giliran awal yang boleh dilihat pada kanak-kanak seperti membaling dan menangkap bola secara bergilir-gilir akan mengajar mereka untuk memberi respon ketika berinteraksi bersama orang lain. Apabila mereka membesar dan mula bercakap, mereka akan menggunakan kemahiran ini untuk memberi respon atau melakukan sesuatu yang diarahkan oleh orang dewasa kepada mereka. Contohnya kita ajak bermain bola dimana dapat melatih mereka untuk menunggu giliran.
- Meniru - Terdapat 2 jenis jemahiran meniru iaitu meniru pergerakan motor dan meniru penghasilan bunyi. Untuk meniru, kanak-kanak perlu mempunyai 3 kemahiran penting iaitu kemahiran mengambil giliran, daya tumpuan dan kontek mata yang baik. Kanak-kanak akan meniru pergerakan motor terlebih dahulu kerana ianya melibatkan pergerakan fizikal dan lebih mudah dilakukan contohnya seperti melambaikan tangan untuk aksi “bye-bye”. Seterusnya kanak-kanak akan mula meniru bunyi sebutan perkataan selaras dengan aksi seperti melambai tangan dan menyebut “bye-bye”.
- Kemahiran Bermain - Kanak-kanak perlu meneroka dan belajar tentang setiap objek yang berbeza di sekelilingnya sebelum mereka dapat menggunakannya dan seterusnya melabel objek tersebut. Terdapat beberapa peringkat untuk kanak-kanak menguasai kemahiran bermain. Jika kita perhatikan, kanak-kanak belajar menggunakan sesuatu permainan melalui ‘trial and error’, contohnya mereka cuba menekan butang pada permainan dan melihat apa yang terjadi. Mereka juga melihat dan mengikut tunjuk ajar daripada orang dewasa jika mereka gagal melakukannya
Sebenarnya kita sebagai ibubapa memainkan peranan yang sangat penting dalam proses pembesaran anak-anak kita. Terhadkan waktu anak menonton TV dan bermain telefon bimbit atau tablet. Bawalah mereka keluar berjalan dihujung minggu. Luangkan masa bermain bersama mereka setiap hari. Perkenalkanlah mereka dengan dunia yang luas ini. Mereka adalah insan yang dahagakan ilmu dan pengalaman baru. Janganlah biarkan TV berterusan menjadi guru mereka. Mungkin ia agak memenatkan tapi pastinya ada ganjaran dariNya yang menanti. Bukan untuk orang lain tapi untuk anak kita juga.
Untuk setakat hari ini, sudah banyak perkataan yang Naufal boleh sebut. Alhamdulillah, saya bersyukur sangat-sangat. Cumanya sekarang Naufal perlu belajar cara untuk membuat ayat dan bersosial. Dan kadang-kadang sebutan Naufal kurang jelas, macam angin lalu je bunyinya. =)
Doakan Naufal petah bercakap seperti anak-anak yang lain ye. Amin.
No comments:
Post a Comment