Tuesday, July 26, 2016

AKU ANAK PENEROKA FELDA LAWIN SELATAN

PENGALAMAN HIDUP SEBAGAI ANAK PENEROKA FELDA

Teks : Siti Shawalriah Binti Sharif
Foto : GOOGLE

Assalamualaikum W.B.T

Saya merupakan anak peneroka FELDA yang dibesarkan di FELDA LAWIN SELATAN yang terletak di GERIK, DAERAH HULU PERAK. Mengimbau kembali kenangan kehidupan di FELDA, membuat saya bersyukur kerana merasai nikmat dan kesusahan hidup di FELDA. 

Sewaktu saya berumur 2 tahun, bapa membawa kami sekeluarga berhijrah ke GERIK kerana bapa ditawarkan bekerja sebagai PENEROKA FELDA. Sungguh apabila diimbau kembali kehidupan di FELDA, sungguh perit dan begitu besar cabaran yang dihadapi oleh setiap keluarga PENEROKA FELDA. Apatah lagi dengan kemudahan  infrakstruktur asas seperti air paip dan elektrik tidak dibekalkan.

Bukan kekayaan yang dikejar, bukan kemewahan yang diharapkan tetapi cukuplah sekadar hidup yang lebih terjamin dan disediakan rumah yang lebih selesa walau hanya satu bilik, itulah secebis harapan yang tertanam di dalam sanubari setiap daripada mereka yang berhijrah ke bumi bertuah FELDA ini. Dalam ribuan yang mengharapkan sesuatu yang belum pasti menjanjikan kesenangan, terselit  abah bersama ibuku sebagai pasangan yang bakal bergelar warga Felda LAWIN SELATAN. Berbekalkan beberapa helai pakaian dan beberapa buah pinggan mangkuk yang ibuku bawa dari kampung, kami sekeluarga berhijrah dan mengharapkan kehidupan yang lebih baik.

RUMAH CONTOH FELDA

Kawasan rumah yang dipenuhi semak samun ditebas satu persatu hingga menjadikan persekitaran tempat tinggal kami mula bersih.Dalam serba kepayahan ibuku tetap sabar melayan kerenahku yang sentiasa mahu didukung sementara abah bertungkus lumus mengerah kudrat yang ada demi ingin melihat kami hidup selesa.Pokok buah-buahan ditanam disekeliling rumah untuk dimakan oleh kami sekeluarga serta dikongsi bersama jiran yang lain.Walau tiada bekalan elektrik, pelita minyak tanah sudah memadai untuk menerangi kegelapan malam dan seterusnya kami beralih pada lampu 'gasoline' yang lebih terang.

Bekalan utama air adalah dari sungai yang kebetulan berada di bawah bukit dibelakang rumah. Mengangkut air dari sungai yang berada di belakang rumah merupakan rutin biasa bagi kami ketika itu.Berkongsi mandi bersama jiran bukanlah sesuatu yang asing pada kami malah ia menambahkan lagi semangat kejiranan sesama kami.

Pendapatan peneroka ketika itu tidak semewah sepertimana yang peneroka perolehi hari ini.Kantin atau kedai koperasi yang disediakan sedikit membantu apabila mereka menyediakan segala barang keperluan yang boleh diambil dahulu sebelum gaji peneroka ditolak kemudiannya.Setelah dihitung dan ditolak hutang tersebut baki yang tinggal ada kalanya hanya rm 10 tetapi kami masih mampu bertahan.Aku sebagai anak walau masih kecil tapi sudah memahami kesusahan serta keperitan hidup ketika itu.Kerana itu tiada istilah memilih pakaian berjenama atau makanan yang sedap-sedap kerana bagi kami apa saja yang ada, itulah yang kami pakai dan itulah yang kami makan walau hanya nasi bersama kuah.

Itu hanya secebis kisah dari perjalanan hidup seorang yang bergelar anak kepada peneroka Felda walau aku tidak lagi tinggal di sana.Kini warga Felda sudah jauh berubah.Rumah yang dulunya kayu yang semakin reput kini berganti dinding batu yang kukuh bersama beberapa buah bilik malah ada juga yang sudah bergelar jutawan.Jika dulu ramai yang malu untuk mengaku sebagai anak Felda tapi kini status sebagai anak Felda tidak lagi dianggap sesuatu yang memalukan.Felda bukan lagi dianggap 'low class' tetapi telah menjelma menjadi sasaran dan impian manusia yang tamak untuk merebutnya, manusia yang tidak pernah melalui detik-detik kepayahan sebagaimana yang pernah kami lalui.

Sungguh besar pengorbanan yang dilakukan oleh bapa dan ibu untuk membesarkan kami sekeluarga. Tidak terbalas jasa mereka yang menubuhkan FELDA bagi perubahan hidup yang lebih positif. Ingatlah pada keringat ibu dan ayah yang bukan sedikit tumpah di bumi bertuah ini sebelum kita mencapai apa yang kita perolehi hari ini dan jangan biarkan mereka yang tidak pernah merasai kesejukan air perigi atau sungai di tanah Felda dan tidak pernah terpijak duri semalu di bumi Felda merampasnya dengan mudah hanya dengan percikan air liur.

1 comment:

  1. ayahnya bukak Felda, tp anaknya pulak yg kebas duit Felda huhu

    ReplyDelete

IKATAN UKHWAH IBU-IBU TAMAN TECHNO CITY KTC 3

SEMANGAT KEJIRANAN LUAR BIASA Teks : Siti Shawalriah Binti Sharif Foto : Koleksi Ibu-Ibu KTC 3 Assalamualaikum W.B.T Sudah hampir 3 t...