Monday, July 18, 2016

Latar Belakang : Siapa Saya?

LATAR BELAKANG 

Teks : Siti Shawalriah Binti Sharif

Assalamualaikum W.B.T

Alhamdulillah, bersyukur saya dengan nikmat kurniaan Allah S.W.T yang memberikan kesihatan jasmani dan rohani yang baik serta semangat untuk memulakan blog ini bagi berkongsi ilmu pengetahuan dan info yang diperolehi berkaitan dengan Panduan Hidup Sihat Dengan Makanan Tambahan sebagai panduan kehidupan sihat untuk semua.

Ketika coretan ini ditulis, saya gembira kerana dapat melihat perkembangan anak sulung saya Naufal Azim bermain dan aktif di depan mata saya sendiri. Alhamdulillah, syukur kerana dapat melihat dia semakin sihat dan aktif seperti kanak-kanak lain seusianya. Sejak menjadi surirumah sepenuh masa  hampir 5 tahun yang lalu, Naufal semakin sihat dan bebas dari masalah asma dan anak kedua saya yang dilahirkan pada 11 Ogos tahun lalu sihat tanpa masalah kesihatan yang teruk. Tidak seperti sebelum ini sewaktu saya berkerja, naufal selalu dirujuk dengan doktor pakar kanak-kanak serta ditahan wad kerana masalah bronchiolitis sejak berusia 2 bulan lagi.

Keputusan saya untuk menjadi surirumah sepenuh masa amat saya syukuri walaupun pada permulaannya agak sukar untuk melepaskan jawatan yang disandang kerana tiada sumber pendapatan sendiri dan perlu menyekat perbelanjaan untuk diri sendiri. Ditambah lagi dengan persepsi dan persoalan yang dihujani. Ramai yang mengatakan tidak rugi ke belajar tinggi-tinggi tetapi akhirnya menjadi seorang surirumah sahaja. Tetapi saya yakin dengan keputusan yang telah dibuat dan berdoa suatu hari nanti dapat membuat sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada saya, keluarga, dan masyarakat sekeliling, walaupun saya hanya seorang surirumah. Jutaan terima kasih diucapkan kepada suami tercinta kerana menberi kepercayaan dan sokongan di atas keputusan yang telah dibuat. In Sha Allah, saya sebagai isteri akan melaksanakan amanah dan tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya.

Berbalik kepada tajuk entri, saya merupakan anak sulung dari 3 orang adik beradik. Kami semua dibesarkan di kawasan perkampungan FELDA. Dua orang adik saya masih meneruskan pengajian di peringkat masing-masing dan saya sebagai kakak mendoakan kejayaan mereka dalam bidang yang bakal diceburi nanti. Selepas tamat Sijil Pelajran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Teknik Gerik dalam pengajian Kejuruteraan Elektrik Dan Elektronik, saya meneruskan pengajian di Kolej Matrikulasi Kedah seterusnya melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Perlis dalam bidang Kejuruteraan Elektronik. Alhamdulillah selepas 5 tahun selepas SPM, saya menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik.

Selepas tamat pengajian di universiti, saya memulakan kerjaya di sebuah kilang semikonduktor sebagai jurutera. Banyak pengalaman yang saya belajar ketika berkhidmat sebagai seorang jurutera dalam pelbagai proses pembuatan produk semikonduktor. Apabila sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak, saya merasakan kerjaya seorang jurutera di kilang tidak sesuai dengan kehidupan saya yang sudah mempunyai keluarga kerana masa saya banyak dihabiskan di tempat kerja dan tidak dapat memberi banyak tumpuan kepada keluarga di samping kesihatan anak yang tidak menentu. Disebabkan masalah itu, saya cuba mencari peluang perniagaan yang boleh dijalankan secara maya disamping dapat menjaga anak sendiri.

Kebetulan semasa saya mencari maklumat tentang "Bekerja Dari Rumah", alhamdulillah rezeki saya telah terjumpa blog guru online saya , Pn Khairunnisa Hamzahara di laman blog beliau iaitu Panduan Untuk Kediaman Rumah. Bermula dari satu entri ke entri lain yang saya baca dari blog beliau, semakin bersemangat saya untuk memulakan perniagaan maya dari rumah walaupun pada ketika itu saya masih bekerja.

Apabila kita menuntut ilmu pasti ada gurunya, selepas terjumpa blog Puan Nisa saya tekad untuk berhenti kerja dan saya menghubungi beliau dan mendaftarkan diri dalam Kelas Asas Blog ini. Saya berharap dapat belajar dan berguru daripada seorang profesional yang sudah berjaya sebagai WAHM. Diharapkan dari kelas ini, saya dapat menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam selok-belok penulisan blog. Penulisan yang baik mampu mempengaruhi pembaca untuk terus membaca dan mengikuti perkembangan sesuatu blog. 

Sebagai permulaan saya mahu menjalankan perniagaan dengan menggunakan produk-produk yang saya sendiri gunakan. Dengan kata lain, pengalaman diri sendiri adalah testimonial kepada produk yang bakal saya promosikan. Dengan testimonial sendiri, ini akan memberi lebih keyakinan kepada bakal pengguna/pelanggan untuk sama-sama mendapat manfaat daripada produk yang saya gunakan. Pada peringkat permulaan, saya akan berkongsi manfaat makanan tambahan keluaran SHAKLEE.

Harapan saya,semoga saya istiqamah dengan apa yang telah dirancang. Niat saya membuat perniagaan maya ini adalah kerana Allah S.W.T. Dalam Islam juga ada mengatakan bahawa perniagaan merupakan aktiviti yang sangat mulia dan ia merupakan ibadah dan sunnah Rasul S.A.W. Sesungguhnya Allah S.W.T adlah sebaik-baik perancang. Kita sebagai manusia hendaklah berusaha, berdoa dan bertawakkal kepada-Nya. In Sha Allah saya akan menjadi WAHM yang berjaya suatu hari nanti. semoga apa yang diusahakan ini dapat memberikan manfaat kepada diri sendiri dan orng sekeliling.

Selamat membaca dan sama-sama kita memperolehi ilmu yang bermanfaat.

Salam perkenalan kepada semua :-)

No comments:

Post a Comment

IKATAN UKHWAH IBU-IBU TAMAN TECHNO CITY KTC 3

SEMANGAT KEJIRANAN LUAR BIASA Teks : Siti Shawalriah Binti Sharif Foto : Koleksi Ibu-Ibu KTC 3 Assalamualaikum W.B.T Sudah hampir 3 t...