Thursday, July 28, 2016

KEHEBATAN KUASA URUTAN BAYI

MANFAAT URUTAN KEPADA BAYI 

Teks : Siti Shawalriah Binti Sharif
Foto : Johnson & Johnson


Assalamualaikum W.B.T

Syukurlah semasa kehamilan anak kedua, saya mendapat pendedahan langsung tentang kebaikan urutan bayi. Saya tertarik dengan informasi yang menyatakan urutan membantu dalam proses tumbesaran bayi dan dapat memgatasi masalah lain seperti kembung perut.

Selepas anak kedua lahir, saya mengamalkan urutan dan hasilnya dia jarang mengalami masalah kembung perut berbanding abangnya yang tidak berpeluang mendapat urutan sejak lahir. Selain itu, anak kedua lebih tegap dan kuat badannya.

Melalui urutan juga ibu bapa dapat meluahkan rasa kasih dan sayang. Contohnya, dalam situasi anak merajuk. Ibu bapa boleh memujuk anak sambil mengusap-usap tangan, ubun-ubun atau belakang badannya. Melalui urutan, anak-anak berasa diri mereka sentiasa dilindungi dan disayangi. Menerusi urutan lembut, ia merupakan satu cara untuk ibubapa menyampaikan kasih sayang dalam bentuk sentuhan.


CONTOH URUTAN BAYI



Wednesday, July 27, 2016

IDEA MINUM PETANG

RESEPI CUCUR JAGUNG

Teks : Siti Shawalriah Binti Sharif
Foto : Sendiri dan GOOGLE

Assalamualaikum W.B.T

Syukur alhamdulillah, rezeki murah apabila ibu mertua berikan 4 tongkol jagung. Petang kelmarin jadilah cucur jagung untuk juadah minum petang merangkap makan malam. Selain dari waktu minum petang, cucur jagung sesuai dijadikan sebagai menu sarapan. Resepinya senang sahaja walaupun pertama kali buat. Bahan yang paling utama adalah jagung yang baik dan berkualiti tinggi.


Bahan-bahan untuk Cucur Jagung 
  • 4 tongkol Jagung saiz sederhana ( Dihiris )
  • 1 biji Bawang Holland 
  • 1 biji telur 
  • 2 cawan tepung
  • sedikit serbuk lada sulah
  • sedikit serbuk paprika
  • 1 cawan air sejuk peti ais
  • Garam secukup rasa
  • Gula Merah secukup rasa

Cara masak Cucur Jagung 
  • Masukkan hirisan Jagung, bawang, telur, tepung, serbuk lada sulah, serbuk paprika di dalam mangkuk besar.
  • Gaulkan dan tambah air sedikit demi sedikit. Gaul adunan supaya sebati. Tahap kecairan bancuhan tidak perlu terlalu cair dan tidak terlalu pekat.
  • Tambah garam dan gula mengikut rasa yang disukai.
  • Panaskan minyak.
  • Sudukan adunan tepung ke dalam minyak panas. Api sederhana.  Kalau api kecil, nanti masuk minyak dan cucur akan jadi terlalu berminyak.
  • Balik-balikkan cucur yang di dalam kuali. Goreng sehingga kekuningan.



Selamat mencuba!

Boleh disajikan bersama kopi atau teh o panas. Memang membuka selera.



SPEECH DELAY

PENGALAMAN ANAK LAMBAT BERCAKAP

Teks : Siti Shawalriah Binti Sharif
Foto : Sendiri


Assalamualaikum W.B.T


Apa agaknya perasaan ibubapa yang mempunyai anak yang masih belum bercakap? Sudah semestinya sedih dan juga risau dengan perkembangan si anak. Mesti kita akan terfikir, apa yang aku dah buat silap ni? Saya pun merasai benda ni, sebab semasa Naufal Azim(anak pertama) berumur 2 tahun, dia masih belum pandai bercakap. Jadi, kita sebagai ibubapa kena bertindak cepat. Aktiviti di rumah sangat mempengaruhi perkembangan pertuturan anak. Ibu abah boleh bawa anak untuk ikut speech therapy dan banyakkan latihan dan aktiviti di rumah supaya anak cepat bercakap.

Apa yang perlu dibuat bila ibu bapa perasan anaknya lambat cakap. Ini berdasarkan pengalaman yang saya perolehi :-

1) Berjumpa Pakar SPEECH THERAPY

Saya telah membawa anak saya untuk berjumpa dengan Pn. Ruby Atika. Sebagai Pakar Terapi Pertuturan profesional, saya harap beliau dapat membantu dan memberi tips dalam membantu anak saya boleh bercakap. Alhamdulillah, dengan bantuan beliau saya dapat membantu anak saya bercakap walaupun hanya menghadiri satu sahaja kelas pertuturan. Berikut tips yang beliau berikan :- 

Kemahiran Pra-Pertuturan 
(sumber : http://blog.becauseyouarespecial.com.my/) kemahiran dimana kanak-kanak perlu mempelajari sebelum mereka mula bercakap lagi. Terdapat 5 kemahiran yang biasanya perlu dikuasai kanak-kanak iaitu :-  

  • daya tumpuanKanak-kanak mesti mempunyai daya tumpuan atau fokus yang baik terhadap objek atau orang lain untuk mereka belajar sesuatu. Daya tumpuan juga penting untuk mereka belajar dari setiap pengalaman yang mereka lalui. 
  • hubungan mata - Hubungan mata adalah kemahiran asas yang dilakukan oleh bayi seawal selepas kelahiran. Hubungan mata membolehkan kanak-kanak untuk fokus kepada muka setiap orang dan objek disekelilingnya. Kanak-kanak memerlukan kemahiran ini untuk melihat pergerakan mulut orang yang bercakap dengannya dan cuba untuk meniru pergerakan tersebut.
  • Mengambil GiliranKemahiran mengambil giliran adalah kemahiran asas untuk seseorang berkomunikasi dan berinteraksi. Kemahiran mengambil giliran awal yang boleh dilihat pada kanak-kanak seperti membaling dan menangkap bola secara bergilir-gilir akan mengajar mereka untuk memberi respon ketika berinteraksi bersama orang lain. Apabila mereka membesar dan mula bercakap, mereka akan menggunakan kemahiran ini untuk memberi respon atau melakukan sesuatu yang diarahkan oleh orang dewasa kepada mereka. Contohnya kita ajak bermain bola dimana dapat melatih mereka untuk menunggu giliran.

  • MeniruTerdapat 2 jenis jemahiran meniru iaitu meniru pergerakan motor dan meniru penghasilan bunyi. Untuk meniru, kanak-kanak perlu mempunyai 3 kemahiran penting iaitu kemahiran mengambil giliran, daya tumpuan dan kontek mata yang baik. Kanak-kanak akan meniru pergerakan motor terlebih dahulu kerana ianya melibatkan pergerakan fizikal dan lebih mudah dilakukan contohnya seperti melambaikan tangan untuk aksi “bye-bye”. Seterusnya kanak-kanak akan mula meniru bunyi sebutan perkataan selaras dengan aksi seperti melambai tangan dan menyebut “bye-bye”.
  • Kemahiran BermainKanak-kanak perlu meneroka dan belajar tentang setiap objek yang berbeza di sekelilingnya sebelum mereka dapat menggunakannya dan seterusnya melabel objek tersebut. Terdapat beberapa peringkat untuk kanak-kanak menguasai kemahiran bermain. Jika kita perhatikan, kanak-kanak belajar menggunakan sesuatu permainan melalui ‘trial and error’, contohnya mereka cuba menekan butang pada permainan dan melihat apa yang terjadi. Mereka juga melihat dan mengikut tunjuk ajar daripada orang dewasa jika mereka gagal melakukannya
Sebenarnya kita sebagai ibubapa memainkan peranan yang sangat penting dalam proses pembesaran anak-anak kita. Terhadkan waktu anak menonton TV dan bermain telefon bimbit atau tablet. Bawalah mereka keluar berjalan dihujung minggu. Luangkan masa bermain bersama mereka setiap hari. Perkenalkanlah mereka dengan dunia yang luas ini. Mereka adalah insan yang dahagakan ilmu dan pengalaman baru. Janganlah biarkan TV berterusan menjadi guru mereka. Mungkin ia agak memenatkan tapi pastinya ada ganjaran dariNya yang menanti. Bukan untuk orang lain tapi untuk anak kita juga.


Untuk setakat hari ini, sudah banyak perkataan yang Naufal boleh sebut. Alhamdulillah, saya bersyukur sangat-sangat. Cumanya sekarang Naufal perlu belajar cara untuk membuat ayat dan bersosial. Dan kadang-kadang sebutan Naufal kurang jelas, macam angin lalu je bunyinya. =)


Doakan Naufal petah bercakap seperti anak-anak yang lain ye. Amin.


Tuesday, July 26, 2016

AKU ANAK PENEROKA FELDA LAWIN SELATAN

PENGALAMAN HIDUP SEBAGAI ANAK PENEROKA FELDA

Teks : Siti Shawalriah Binti Sharif
Foto : GOOGLE

Assalamualaikum W.B.T

Saya merupakan anak peneroka FELDA yang dibesarkan di FELDA LAWIN SELATAN yang terletak di GERIK, DAERAH HULU PERAK. Mengimbau kembali kenangan kehidupan di FELDA, membuat saya bersyukur kerana merasai nikmat dan kesusahan hidup di FELDA. 

Sewaktu saya berumur 2 tahun, bapa membawa kami sekeluarga berhijrah ke GERIK kerana bapa ditawarkan bekerja sebagai PENEROKA FELDA. Sungguh apabila diimbau kembali kehidupan di FELDA, sungguh perit dan begitu besar cabaran yang dihadapi oleh setiap keluarga PENEROKA FELDA. Apatah lagi dengan kemudahan  infrakstruktur asas seperti air paip dan elektrik tidak dibekalkan.

Bukan kekayaan yang dikejar, bukan kemewahan yang diharapkan tetapi cukuplah sekadar hidup yang lebih terjamin dan disediakan rumah yang lebih selesa walau hanya satu bilik, itulah secebis harapan yang tertanam di dalam sanubari setiap daripada mereka yang berhijrah ke bumi bertuah FELDA ini. Dalam ribuan yang mengharapkan sesuatu yang belum pasti menjanjikan kesenangan, terselit  abah bersama ibuku sebagai pasangan yang bakal bergelar warga Felda LAWIN SELATAN. Berbekalkan beberapa helai pakaian dan beberapa buah pinggan mangkuk yang ibuku bawa dari kampung, kami sekeluarga berhijrah dan mengharapkan kehidupan yang lebih baik.

RUMAH CONTOH FELDA

Kawasan rumah yang dipenuhi semak samun ditebas satu persatu hingga menjadikan persekitaran tempat tinggal kami mula bersih.Dalam serba kepayahan ibuku tetap sabar melayan kerenahku yang sentiasa mahu didukung sementara abah bertungkus lumus mengerah kudrat yang ada demi ingin melihat kami hidup selesa.Pokok buah-buahan ditanam disekeliling rumah untuk dimakan oleh kami sekeluarga serta dikongsi bersama jiran yang lain.Walau tiada bekalan elektrik, pelita minyak tanah sudah memadai untuk menerangi kegelapan malam dan seterusnya kami beralih pada lampu 'gasoline' yang lebih terang.

Bekalan utama air adalah dari sungai yang kebetulan berada di bawah bukit dibelakang rumah. Mengangkut air dari sungai yang berada di belakang rumah merupakan rutin biasa bagi kami ketika itu.Berkongsi mandi bersama jiran bukanlah sesuatu yang asing pada kami malah ia menambahkan lagi semangat kejiranan sesama kami.

Pendapatan peneroka ketika itu tidak semewah sepertimana yang peneroka perolehi hari ini.Kantin atau kedai koperasi yang disediakan sedikit membantu apabila mereka menyediakan segala barang keperluan yang boleh diambil dahulu sebelum gaji peneroka ditolak kemudiannya.Setelah dihitung dan ditolak hutang tersebut baki yang tinggal ada kalanya hanya rm 10 tetapi kami masih mampu bertahan.Aku sebagai anak walau masih kecil tapi sudah memahami kesusahan serta keperitan hidup ketika itu.Kerana itu tiada istilah memilih pakaian berjenama atau makanan yang sedap-sedap kerana bagi kami apa saja yang ada, itulah yang kami pakai dan itulah yang kami makan walau hanya nasi bersama kuah.

Itu hanya secebis kisah dari perjalanan hidup seorang yang bergelar anak kepada peneroka Felda walau aku tidak lagi tinggal di sana.Kini warga Felda sudah jauh berubah.Rumah yang dulunya kayu yang semakin reput kini berganti dinding batu yang kukuh bersama beberapa buah bilik malah ada juga yang sudah bergelar jutawan.Jika dulu ramai yang malu untuk mengaku sebagai anak Felda tapi kini status sebagai anak Felda tidak lagi dianggap sesuatu yang memalukan.Felda bukan lagi dianggap 'low class' tetapi telah menjelma menjadi sasaran dan impian manusia yang tamak untuk merebutnya, manusia yang tidak pernah melalui detik-detik kepayahan sebagaimana yang pernah kami lalui.

Sungguh besar pengorbanan yang dilakukan oleh bapa dan ibu untuk membesarkan kami sekeluarga. Tidak terbalas jasa mereka yang menubuhkan FELDA bagi perubahan hidup yang lebih positif. Ingatlah pada keringat ibu dan ayah yang bukan sedikit tumpah di bumi bertuah ini sebelum kita mencapai apa yang kita perolehi hari ini dan jangan biarkan mereka yang tidak pernah merasai kesejukan air perigi atau sungai di tanah Felda dan tidak pernah terpijak duri semalu di bumi Felda merampasnya dengan mudah hanya dengan percikan air liur.

Wednesday, July 20, 2016

RAGAM ANAK

LAYANI RAGAM ANAK SETIAP MASA

Teks : Siti Shawalriah Binti Sharif
Foto : Sumber GOOGLE


Assalamualaikum W.B.T

Bukan mudah untuk memberi sepenuh perhatian kepada setiap anak-anak yang dianugerahkan kepada kita. pelbagai cabaran dan dugaan yang perlu dihadapi bermula dari saat kehamilan, kelahiran dan proses pembesaran. Setiap anak yang dilahirkan adalah suci dan bersih dari segala dosa. Tanggungjawab telah ditetapkan di tangan ibubapa untuk mencorak kehidupan anak-anak kita nanti.




Bersabarlah kita dalam melayani karenah dan ragam anak setiap masa. Berkomunikasilah dengan wajar dan berilah teguran dengan cara yang baik.Janganlah dimarahi atau diherdik sekiranya anak-anak kecil kita melakukan perkara tersebut :- 
  • ANAK BANYAK BERTANYA

    Sekiranya anak-anak kita ingin bermanja ataupun inginkan perhatian, pasti mereka akan selalu banyak bertanya pelbagai soalan. Kita sebagai ibubapa, layanlah anak-anak kita dengan penuh perhatian serta kasih sayang dan janganlah dimarahi atau diherdik walaupun kita dalam keadaan penat pulang dari kerja. Sekiranya kita memarahi atau herdik mereka, ditakuti mereka akan memberontak dan merasa sedih kerana tidak dipedulikan.
  • MEMBALING OBJEK

    Ibubapa mestiada melihat anak kecil suka membaling objek seperti botol susu, telefon bimbit, remote control dan sebagainya. Anak-anak kecil ini sebenarnya sedang mengekpresi perasaan sayangnya kepada kita ibubapa. Sebaiknya janganlah dimarahi tetapi memberi teguran secara baik dan menasihati agar mereka tidak mengulangi perbuatan tersebut.
  • BERMAIN SEMASA MAKAN

    Ibubapa elakkan menjerit dan menengking jika si kecil bermain dengan makanan dan bersepah-sepah. Ketahuilah bahawa anak anda sebenarnya seorang yang bijak kerana mereka sedang mencuba sesuatu yang baru dan sangat menyeronokkan. Perasaan ingin tahu si kecil sangat tinggi dan kita sebagai ibubapa hendaklah cuba bertenang untuk menghadapi situasi.
  • MENUNJUKKAN HASIL KREATIVITI

    Kadang-kadang apabila anak-anak menunjukkan hasil kreativiti kepada ibubapa, pasti kita akan memuji dan memberi kata-kata semangat untuk menghasilkan lebih baik di masa akan datang. Tetapi anak-anak ini pasti akan bertanya cantik ataupun tidak berulang kali sehingga puas hati mereka. Sebagai ibubapa, layanlah anak anda selagi mereka masih seronok. Proses ini adalah dapat membantu sikecil mencari keyakinan dalam diri. Pujian yang diberikan akan dapat mebuatkan mereka lebih yakin dan menjadi lebih baik.
  • AJAK BERMAIN BERSAMA

    Sekiranya si kecil mengajak kita ibubapa bermain bersama, janganlah ditolak ajakan mereka. Di waktu beginilah kita boleh meluangkan masa untuk bermain bersama-sama dan ajaklah anak-anak kita untuk bermain di luar agar dapat melatih aktiviti sosial dengan masyarakat setempat. Di saat beginilah dan waktu yang berharga inilah kita dapat meluangkan masa dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.
  • BUAT RAGAM

    Sekiranya anak-anak kita membuat ragam atau perangai di tempat awam, janganlah kita ibubapa terus menghukum kerana ini hanya akan menambah lagi kesedihan kepada anak-anak kecil ini. Sebagai ibubapa, kita hendaklah pujuk dan cakap dengan nada lembut dan berhemah supaya mereka akan belajar memahami situasi sekeliling.




Tuesday, July 19, 2016

Manfaat Susu Ibu

MANFAAT SUSU IBU SEPANJANG HAYAT

Teks : Siti Shawalriah Binti Sharif
Foto : Sumber GOOGLE


Assalamualaikum W.B.T

SUSU ibu merupakan makanan terbaik untuk bayi kerana mengandungi kesemua nutrien yang diperlukan bagi tumbesaran dan perkembangan otak bayi, mudah hadam dan sentiasa tersedia pada suhu yang tetap. Alhamdulilah kedua-dua anak saya dapat susu ibu secara ekslusif sehingga berumur 6 bulan.

Di samping itu, bayi yang menyusu ibu sepenuhnya dari lahir sehingga enam bulan yang pertama, mempunyai tumbesaran yang baik dan sihat berbanding bayi yang tidak diberi susu ibu.

Susu ibu lebih selamat dan mengandungi semua nutrisi yang diperlukan oleh bayi yang sihat termasuk 160 asid lemak yang tidak didapati dalam susu formula.

Susu ibu juga amat penting sebagai imunisasi pertama bayi. Secara keseluruhan, nutrisi-nutrisi penting ini yang diberikan ketika bayi masih kecil membantu memberikan kesan jangka masa panjang terhadap perkembangan dan masa hadapan kanak-kanak.




Kesan baik itu bukan hanya dirasai ketika bayi masih kecil namun kekal sepanjang hayat meliputi kesan terhadap perkembangan fizikal, mental, emosi dan pembentukan peribadi seorang anak.

''Penyusuan susu ibu secara eksklusif bermaksud bayi hanya diberikan susu ibu dalam masa enam bulan pertama selepas kelahiran. Tiada makanan atau minuman lain diberikan pada bayi dalam tempoh tersebut.

"Makanan pelengkap hanya dimulakan setelah bayi berumur enam bulan dan ke atas. Penyusuan hendaklah diteruskan sehingga bayi berumur dua tahun.

Kelebihan dan fadhilat menyusukan anak sepenuhnya dari sudut pandang Islam :-

1. Wanita yang memberi minum susu kepada anaknya daripada badannya (susu badan) akan dapat satu pahala daripada tiap-tiap titik susu yang diberikannya.

2. Jika wanita menyusui anaknya sampai cukup tempoh (2 1/2 tahun) dan beramal soleh tidak melangar perintah Allah dan taat kepada suaminya, maka maalaikat-maalaikat di langit akan khabarkan berita bahawa syurga wajib baginya.

3. Jika wanita memberi susu badannya kepada anaknya yang menangis, Allah akan memberi pahala satu tahun solat dan puasa.

4. Susu ibu menjadikan anak lebih sihat daripada terkena penyakit terutama selsema dan batuk, InsyaAllah.

5. Dengan memberi air susu ibu kepada anak, pengaruhnya sangat besar terhadap perkembangan dan kesihatan fizik dan jiwa anak.

6. Jika semalaman ibunya tidak tidur kerana menjaga anaknya yang sakit, maka Allah S.W.T memberi pahala seperti memerdekakan 70 hamba ke jalan Allah.


Begitulah sayangnya Allah pada wanita yang bergelar IBU.

Potty Training Naufal Azim

PENGALAMAN POTTY TRAINING ANAK SULUNG

Teks : Siti Shawalriah Binti Sharif
Foto : Sumber GOOGLE

Assalamualaikum W.B.T

Apabila sudah mempunyai anak, banyak pengalaman yang dilalui. Bermula dari proses kehamilan sehingga anak semakin membesar. Salah satunya adalah proses mengajar anak untuk membuang air kecil atau besar di tandas (potty training). Saya pun bukanlah pakar sangat. Apa yang saya cerita ini adalah berdasarkan pengalaman saya potty training anak sulung saya. Sebelum memulakan proses latihan saya banyak membaca untuk mengetahui  apa yang terbaik dalam memudahkan proses ini.




Asasnya ada 4 peraturan yang penting dalam proses melatih anak kecil ini untuk membuang di dalam tandas :-

1) IBU DAN ANAK KENA BERSEDIA.

Yang ni paling utama dan asas yang perlu dan wajib ada. Selalunya penekanan hanya diberikan pada anak sahaja. Apabila anak sudah pandai bercakap atau pandai terima arahan, kita pun rasa dia sudah bersedia. Tetapi kita sebagai ibu rupanya tidak bersedia.

Macam mana nak tahu?

Bila anak terkencing kita marah-marah tahap gaban atau sampai pukul. Itu maknanya memang ibunya yang tidak bersedia. Saya pun mengalami pengalaman yang sama apabila hari pertama latihan, saya dah marahkan anak sebab kencing tidak beritahu. Rasa bersalah sangat waktu itu. Umi minta maaf yer sayang.  Anak kita dah beberapa bulan atau tahun poo dan pee dalam diaper. Tentu ambil masa utk sesuaikan keadaan itu walaupun si anak sudah pandai bercakap. Tidak sama kepandaian bercakap dengan 'keterlupaan' dia dah tidak pakai diaper.

Ibu dan anak kena bersedia. Ibu kena bersedia dari sudut emosi dan fizikal dan anak pula sudah boleh dipujuk. Jangan dipaksa sangat. Seperti Naufal, saya mulakan waktu umur 3 tahun sebab Naufal susah untuk berkomunikasi dan menyatakan keinginan dia. Apabila saya latihan dimulakan, cukup seminggu dia berjaya diaper-free waktu siang. Sekarang umur Naufal hampir 4 tahun dan sudah bebas pamper sepenuhnya.

2) MOTIVASI

Setiap kali kejayaan, kita bagi la pelukan dan ciuman. Kemudian puji tanda kita sangat hargai usaha dia yg berjaya ke tandas sendiri. Apa jadi kalau ter lepas?

Cakaplah tidak mengapa. Lain kali berak dan kencing di tandas. 
Saya bukan malaikat. Kadang-kadang ada juga marah dia tetapi saya tengok muka Naufal lagi blur sudah seperti silap faham. Kalau kencing mesti kena marah. Menyesal pun ada, selepas itu saya berazam untuk tidak marah-marah lagi.

Proses lebih mudah dan naufal akan beritahu setiap kali mahu kencing atau berak.

3) PERINGATAN yang BERTERUSAN

Kita sentiasa ingatkan dan tanya dia nak ke tandas ke tak. Di peringkat pemulaan memang kena selalu bertanya. Seperti saya, setiap 15 minit dan beransur-ansur menjarakan waktu.
Apabila sudah pandai, setiap sejam atau 2 jam boleh la diingatkan. Apabila dah diaper-free sepenuhnya, saya masih akan tanya terutamanya sebelum tidur dan sebelum keluar rumah.

4) PERSEKITARAN

Ini penting untuk memastikan proses potty training berjalan lancar. 

Apa maksudnya?

Gulung semua karpet atau tikar yang ada di rumah. Ini untuk mengelakan proses membersih lebih lama serta membantu ibu-ibu dari naik hantu. hehehe.
Lapik tilam dengan lapik kalis air atau comforter tebal
Pakaikan seluar dalam serta sediakan mop atau kain untuk megelap najis anak anda. 

Saya sanggup beli magic mop sebab tidak sanggup untuk menggunakan mop biasa. Magic mop sangat membantu kerana memudahkan kerja.


Saya juga menyediakan potty training chair untuk membantu Naufal dengan lebih mudah dan selamat agar dia tidak takut jatuh ke dlam lubang tandas. Saya beli di kedai DIY sahaja. Harga lebih murah dan berpatutan.



Dari sudut teori memang nampak senang tetapi apabila dah hadap nanti, barulah menguji keimanan. Saya masih ada seorang anak yang menanti giliran untuk potty training.

Berdoa sebanyak mungkin supaya Allah memudahkan urusan dalam mendidik anak-anak kita menjadi khalifah islam yang benar.








NUTRISI LENGKAP NAUFAL

PENGALAMAN ANAK SELALU SAKIT

Teks : Siti Shawalriah Binti Sharif
Foto : Sumber GOOGLE & Koleksi Sendiri

Assalamualaikum W.B.T

Naufal Azim Ahmad Faiz merupakan anak sulung saya yang kini berusia 4 tahun. Alhamdulillah semakin cergas, aktif dan bakal membesar dengan bijak serta menjadi anak yang soleh. Sungguh terasa pahit dan manis dalam membesarkan naufal. 

Selepas bercuti selama 2 bulan dan selesai menjalani proses pantang, saya kembali berkerja seperti biasa. Semenjak saya mula berkerja dan perlu menghantar naufal kepada pengasuh apabila dia berusia 2 bulan, selsema, batuk dan demam selalu dihidapi Naufal. Setiap bulan atau minggu Naufal perlu mendapatkan rawatan daripada pakar kanak-kanak dan perlu nebulizer kerana masalah bronchiolitis. Naufal pernah 3 kali ditahan ward kerana masalah bronchiolitis dan juga selama seminggu berkampung di ward kerana menghidap pneumonia. Selain itu, Naufal juga mengalami kulit yang sensitif terutama di bahagian muka.


Naufal berusia 3 bulan


masalah kulit muka Naufal

Alhamdulillah sejak Naufal diberikan MealShake apabila dia berusia 1 tahun 5 bulan, kesihatan naufal semakin baik dan sangat aktif menjalani kehidupan seharian tanpa mengalami masalah selsema dan batuk yang berterusan.



Naufal yang sihat dan aktif

Kita sebagai ibu bapa pasti risau sekiranya anak selalu sakit. Oleh itu, berikanlah kepada si manja nutrisi yang seimbang untuk mereka menguatkan antibodi bagi melawan penyakit. Nutrisi sangat penting kepada si manja untuk membesar dengan sihat. MealShake merupakan satu makanan tambahan yang lengkap kepada si kecil yang sedang membesar.




Untuk konsultasi dan berminat untuk mendapat produk shaklee atau keahlian Shaklee, jangan segan silu hubungi saya .

sms/pm/whatsapp : 0134891885
email : sitishawalriahsharif@gmail.com




Ulasan EBOOK Belajar Asas Blog

EBOOK BELAJAR ASAS BLOG

Teks : Siti Shawalriah Binti Sharif
Foto : ABDR

Assalamualaikum W.B.T




Ebook Belajar Asas Blog merupakan satu ebook yang terbaik untuk membantu dan menanbah ilmu kepada sesiapa yang berminat dan mahu belajar mengenai penulisan. Meneliti ebook yang telah saya baca, banyak penulis blog menyatakan kejayaan selepas mempelajari asas blog dan penulisan yang teratur serta mudah difahami oleh pembaca. Malah melalui penulisan blog, mereka menjadi antara yang terkenal di alam media sosial sekarang ini. Apa yang sangat penting dalam penulisan blog adalah konsisten dan bijak menguruskan masa. 

Alhamdulillah, banyak kebaikan dan panduan yang diperolehi. Antaranya adalah ilmu yang bermanfaat yang dikongsikan melalui pengalaman penulis blog itu sendiri. Penulisan yang santai dan mempunyai ilmu mampu memikat  dan seterusnya menambat hati pembaca untuk membaca artikel-artikel lain yang dikongsikan.

Melalui penulisan blog, bukan sahaja kita berkongsi pengetahuan dengan orang lain malah mampu meningkat taraf sosial seseorang. Melalui penulisan blog juga, kita boleh berkongsi kemahiran yang kita ada seperti kebolehan menjahit. Apabila orang lain mengenali kemahiran yang kita ada, maka kita ada peluang untuk menjana pendapatan sampingan. Selain itu, dengan blog, kita boleh buka perniagaan online yang mampu menjana pendapatan yang lumayan.

Dalam apa bidang sekalipun, kalau kita berusaha bersungguh-sungguh dan istiqamah dalam apa yang kita lakukan ianya pasti akan membuahkan hasil. bak kata pepatah, di mana ada kemahuan pasti ada jalannya. Saya berharap melalui pembelajaran asas blog ini,dapat membantu saya mencapai matlamat dan kejayaan yang diimpikan. Seperkara lagi, melalui blog ia dapat menyuntik motivasi apabila kita membaca kisah kejayaan orang lain di blog mereka. Dengan adanya ebook ini, ianya mampu membawa kita melangkah dengan lebih jauh dengan penuh matlamat, istiqamah serta bijaksana dalam mengejar cita-cita dan kejayaan

Sekian Terima Kasih, jumpa lagi :-)


Monday, July 18, 2016

PENGERTIAN ISTIQAMAH

HATI TIDAK TENANG

Teks : Siti Shawalriah Binti Sharif

Assalamualaikum W.B.T

Istiqamah boleh dimaksudkan sebagai tetap pendirian atau berdiri teguh sepanjang masa atas dasar kebenaran dan petunjuk tanpa ragu-ragu. Namun begitu, istiqamah bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan oleh seseorang itu, tetapi tidak mustahil untuk dilakukan sekiranya keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah cukup teguh dan benar. Untuk mempertahankan sesuatu, kita haruslah mempunyai kekuatan untuk mempertahankanya, apatah lagi sekiranya sesuatu itu kelihatan asing bagi orang ramai. Tidak ramai yang mampu untuk melaksanakan istiqamah ini dalam kehidupan seharian. Banyak halangan dan cabaran untuk menjadikan diri kita istiqamah dalam melakukan ibadah di jalan ALLAH SWT. Antara halangan untuk menjadikan diri kita beristiqamah adalah seperti berikut :

1. Halangan diri sendiri seperti malas, takut, gagal, rendah semangat, malu dan tahap pencapaian rendah.

2. Halangan daripada pihak lain seperti gangguan, pengaruh, menolak peluang dan tidak mahu bekerjasama.

3. Halangan dengan persekitaran contohnya suasana yang tidak selesa atau tidak sesuai.

4. Halangan dari segi wang atau kebendaan

Seperti apa yang berlaku terhadap kehidupan seharian kita, hati kita tidak tenang kerana banyak pekara yang tertangguh dalam hidup akibat daripada sikap tidak istiqamah dalam melakukan sesuatu perkara. Bagaimana untuk menjadi seorang yang istiqamah? Di sini antara tip yang ingin dikongsikan untuk menjadi seorang yang istiqamah:

1. Kuatkan azam

2. Berusaha dengan tetap dan bersungguh-sungguh

3. Tidak patah semangat

4. Tidak kecewa dan putus asa.

5. Tabah dan sabar menghadapi cabaran dan ujian

6. Sentiasa berfikiran positif dan rasional.

7. Banyak berzikir dan berdoa kepada Allah SWT.

8. Bertawakal dan bersyukur dengan setiap nikmat yang Allah berikan.

Semoga setiap amalan kebaikan di atas dunia ini akan menjadi bekalan kepada kita untuk menhadapi hari akhirat yang tiada penghujungan. Sesungguhnya alam akhirat adalah alam yang sebenarnya, di dunia ini hanyalah dunia sementara untuk Allah menguji manusia tentang cabaran dan godaan dunia. Sesiapa yang mudah leka maka tewaslah dia di hari perhitungan dengan Allah SWT. Jadi latihla diri kita untuk istiqamah di jalan Allah.







Latar Belakang : Siapa Saya?

LATAR BELAKANG 

Teks : Siti Shawalriah Binti Sharif

Assalamualaikum W.B.T

Alhamdulillah, bersyukur saya dengan nikmat kurniaan Allah S.W.T yang memberikan kesihatan jasmani dan rohani yang baik serta semangat untuk memulakan blog ini bagi berkongsi ilmu pengetahuan dan info yang diperolehi berkaitan dengan Panduan Hidup Sihat Dengan Makanan Tambahan sebagai panduan kehidupan sihat untuk semua.

Ketika coretan ini ditulis, saya gembira kerana dapat melihat perkembangan anak sulung saya Naufal Azim bermain dan aktif di depan mata saya sendiri. Alhamdulillah, syukur kerana dapat melihat dia semakin sihat dan aktif seperti kanak-kanak lain seusianya. Sejak menjadi surirumah sepenuh masa  hampir 5 tahun yang lalu, Naufal semakin sihat dan bebas dari masalah asma dan anak kedua saya yang dilahirkan pada 11 Ogos tahun lalu sihat tanpa masalah kesihatan yang teruk. Tidak seperti sebelum ini sewaktu saya berkerja, naufal selalu dirujuk dengan doktor pakar kanak-kanak serta ditahan wad kerana masalah bronchiolitis sejak berusia 2 bulan lagi.

Keputusan saya untuk menjadi surirumah sepenuh masa amat saya syukuri walaupun pada permulaannya agak sukar untuk melepaskan jawatan yang disandang kerana tiada sumber pendapatan sendiri dan perlu menyekat perbelanjaan untuk diri sendiri. Ditambah lagi dengan persepsi dan persoalan yang dihujani. Ramai yang mengatakan tidak rugi ke belajar tinggi-tinggi tetapi akhirnya menjadi seorang surirumah sahaja. Tetapi saya yakin dengan keputusan yang telah dibuat dan berdoa suatu hari nanti dapat membuat sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada saya, keluarga, dan masyarakat sekeliling, walaupun saya hanya seorang surirumah. Jutaan terima kasih diucapkan kepada suami tercinta kerana menberi kepercayaan dan sokongan di atas keputusan yang telah dibuat. In Sha Allah, saya sebagai isteri akan melaksanakan amanah dan tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya.

Berbalik kepada tajuk entri, saya merupakan anak sulung dari 3 orang adik beradik. Kami semua dibesarkan di kawasan perkampungan FELDA. Dua orang adik saya masih meneruskan pengajian di peringkat masing-masing dan saya sebagai kakak mendoakan kejayaan mereka dalam bidang yang bakal diceburi nanti. Selepas tamat Sijil Pelajran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Teknik Gerik dalam pengajian Kejuruteraan Elektrik Dan Elektronik, saya meneruskan pengajian di Kolej Matrikulasi Kedah seterusnya melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Perlis dalam bidang Kejuruteraan Elektronik. Alhamdulillah selepas 5 tahun selepas SPM, saya menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik.

Selepas tamat pengajian di universiti, saya memulakan kerjaya di sebuah kilang semikonduktor sebagai jurutera. Banyak pengalaman yang saya belajar ketika berkhidmat sebagai seorang jurutera dalam pelbagai proses pembuatan produk semikonduktor. Apabila sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak, saya merasakan kerjaya seorang jurutera di kilang tidak sesuai dengan kehidupan saya yang sudah mempunyai keluarga kerana masa saya banyak dihabiskan di tempat kerja dan tidak dapat memberi banyak tumpuan kepada keluarga di samping kesihatan anak yang tidak menentu. Disebabkan masalah itu, saya cuba mencari peluang perniagaan yang boleh dijalankan secara maya disamping dapat menjaga anak sendiri.

Kebetulan semasa saya mencari maklumat tentang "Bekerja Dari Rumah", alhamdulillah rezeki saya telah terjumpa blog guru online saya , Pn Khairunnisa Hamzahara di laman blog beliau iaitu Panduan Untuk Kediaman Rumah. Bermula dari satu entri ke entri lain yang saya baca dari blog beliau, semakin bersemangat saya untuk memulakan perniagaan maya dari rumah walaupun pada ketika itu saya masih bekerja.

Apabila kita menuntut ilmu pasti ada gurunya, selepas terjumpa blog Puan Nisa saya tekad untuk berhenti kerja dan saya menghubungi beliau dan mendaftarkan diri dalam Kelas Asas Blog ini. Saya berharap dapat belajar dan berguru daripada seorang profesional yang sudah berjaya sebagai WAHM. Diharapkan dari kelas ini, saya dapat menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam selok-belok penulisan blog. Penulisan yang baik mampu mempengaruhi pembaca untuk terus membaca dan mengikuti perkembangan sesuatu blog. 

Sebagai permulaan saya mahu menjalankan perniagaan dengan menggunakan produk-produk yang saya sendiri gunakan. Dengan kata lain, pengalaman diri sendiri adalah testimonial kepada produk yang bakal saya promosikan. Dengan testimonial sendiri, ini akan memberi lebih keyakinan kepada bakal pengguna/pelanggan untuk sama-sama mendapat manfaat daripada produk yang saya gunakan. Pada peringkat permulaan, saya akan berkongsi manfaat makanan tambahan keluaran SHAKLEE.

Harapan saya,semoga saya istiqamah dengan apa yang telah dirancang. Niat saya membuat perniagaan maya ini adalah kerana Allah S.W.T. Dalam Islam juga ada mengatakan bahawa perniagaan merupakan aktiviti yang sangat mulia dan ia merupakan ibadah dan sunnah Rasul S.A.W. Sesungguhnya Allah S.W.T adlah sebaik-baik perancang. Kita sebagai manusia hendaklah berusaha, berdoa dan bertawakkal kepada-Nya. In Sha Allah saya akan menjadi WAHM yang berjaya suatu hari nanti. semoga apa yang diusahakan ini dapat memberikan manfaat kepada diri sendiri dan orng sekeliling.

Selamat membaca dan sama-sama kita memperolehi ilmu yang bermanfaat.

Salam perkenalan kepada semua :-)

IKATAN UKHWAH IBU-IBU TAMAN TECHNO CITY KTC 3

SEMANGAT KEJIRANAN LUAR BIASA Teks : Siti Shawalriah Binti Sharif Foto : Koleksi Ibu-Ibu KTC 3 Assalamualaikum W.B.T Sudah hampir 3 t...